Sunday 21 August 2011

CINTA SEBELUM BERNIKAH

PENDAPAT YUSOF QARDAWI MENGENAINYA.

Beliau ingin menegaskan bahawa apa yg sering saya katakan saya tidak mempersetujui bercinta sebelum berkahwin kerana cara seperti ini dikhutiri akan  terjebak ke dalam syubhat . rujuk kitab wanita dalam fiqh al-Qardawi.
kata beliau lagi, ramai orang mula bercinta dengan cara yang tidak benar seperti bercouple, melalui percakapan telefon dengan bicara yang sia-sia, ia sering kali dilakukan oleh anak-anak muda ketika bosan atau mempunyai masa yang terluang.
bercouple melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh remaja puteri dan ini biasanya berlaku didalam rumah  tanpa disedari dan difikirkan akibatnya baaik si remaja atau ibu dan bapanya. awalnya memang cuba-cuba lama kelamaan menjadi ketagihan. awalnya sekadar suka-suka tetapi akhirnya menjadi serius,.ini perlu dielakkan.
sms,chatting,panggilan telefon, dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah, komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan merupakan jalan-jalan menghampiri zina. Ini juga merupakan jalan-jalan menuju yang mendekatkan diri kepada zina.

Sunday 14 August 2011

IMAN


PERKARA YG MEMBATALKAN  SYAHADAH  ATAU  MURTAD…

·         Sujud atau tunduk kepada berhala secara pilihan sendiri bukan kerana terpaksa.
·         Menghina atau memperkecilkan sesuatu yang dimuliakan agama seperti asma Allah, sifat-sifat Allah, al-Quran, hadis, hukum syarak, perintah, dan  laranganNya.
·         Mengucap sesuatu ucapan kekafiran yg biasanya dengan ucapan itu menyebabkan orang menyangka ia telah kafir atau dengan terangan orang itu mengatakan dirinya telah menjadi kafir atau keluar daripada Islam, sedangkan hal keadaannya pilihan sendiri bukan paksaan.
·         Perbuatan-perbuatan lain yang menyebabkan boleh terkeluar daripada Islam seperti mengatakan yang wajib itu sebaliknya, begitu juga dengan mengatakan yang haram itu halal. Firman Allah:

 “sesiapa di antara kamu Yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang Yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).”
Al-baqarah : 217…buku indahnya hidup bersyariat, Dato Ismail Kamus.

IMAN


PERKARA YG MEMBATALKAN  SYAHADAH  ATAU  MURTAD…

·         Sujud atau tunduk kepada berhala secara pilihan sendiri bukan kerana terpaksa.
·         Menghina atau memperkecilkan sesuatu yang dimuliakan agama seperti asma Allah, sifat-sifat Allah, al-Quran, hadis, hukum syarak, perintah, dan  laranganNya.
·         Mengucap sesuatu ucapan kekafiran yg biasanya dengan ucapan itu menyebabkan orang menyangka ia telah kafir atau dengan terangan orang itu mengatakan dirinya telah menjadi kafir atau keluar daripada Islam, sedangkan hal keadaannya pilihan sendiri bukan paksaan.
·         Perbuatan-perbuatan lain yang menyebabkan boleh terkeluar daripada Islam seperti mengatakan yang wajib itu sebaliknya, begitu juga dengan mengatakan yang haram itu halal. Firman Allah:

 “sesiapa di antara kamu Yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang Yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).”
Al-baqarah : 217…buku indahnya hidup bersyariat, Dato Ismail Kamus.

Friday 12 August 2011

ancaman pluralisme agama


Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia: Satu Tinjauan Awal[1]

Oleh
Dr. Yusri bin Mohamad[2]
BismiLlahirrahmanirahim, AlhamduliLlahi Rabbil `Alamin wa bihi Nasta`in, Wassolatu wassalamu `ala Sayyidina wa Habibina Muhammadinilamin wa `ala Aalihi wa Sohbihi Ajma`in.
Muqaddimah, Definisi dan Premis Asas
Tulisan ini adalah catatan ringkas pengamatan awal penulis di sekitar tajuk yang dikirakan sudah cukup jelas dan terang maksudnya. Pun begitu, adalah dirasakan perlu makna beberapa istilah di dalam tajuk tersebut tetap diteliti kerana mungkin masih terdapat percanggahan tanggapan yang akhirnya menyukarkan kita mencapai suatu kesimpulan dan persetujuan, semata-mata kerana berbeza dalam mendefinisikan istilah. Sedangkan para hukama sudah sekian lama menegaskan kaedah bahawa, “Tidak wajar bertelingkah semata-mata kerana berbeza memahami istilah” (La Mushaahata fi al-Istilah).
Merujuk kepada tajuk kita, jika istilah-istilah kuncinya tidak diperjelaskan, berkemungkinan besar kita tidak akan mampu bersetuju bahawa apa yang akan dibentangkan sebagai realiti-realiti yang wujud di Malaysia sudah pun memenuhi apa yang disebut sebagai ‘Pluralisme Agama’ dan sudah pun mencapai tahap suatu ‘ancaman’.
Kata-kunci pertama yang perlu dihuraikan adalah kalimah ‘Pluralisme Agama’. Oleh kerana kertas-kertas awal dalam Wacana ini telah menjurus kepada perbahasan teori dan konsep ‘Pluralisme Agama’ maka tidak perlulah lagi kita mengulangi perbahasannya di sini dan rujukan bolehlah dibuat terus kepada kertas-kertas tersebut. Memadailah buat penegasan, kita memetik pandangan seorang pengkaji yang menekuni isu ini, Dr. Anis Malik Toha, yang mengingatkan kita bahawa,
“Yang perlu digaris-bawahi di sini adalah bahwa bagi kalangan pluralis sejati, Pluralisme pada umumnya dan Pluralisme Agama pada khususnya bukanlah sekadar toleransi belaka, sebagaimana yang jamak di(salah)fahami oleh kalangan pentaklid pluralis. Penekanan Pluralisme lebih pada “kesamaan” atau “kesetaraan” (equality) dalam segala hal, termasuk “beragama”. Setiap pemeluk agama harus memandang sama pada semua agama dan pemeluknya. Oleh kerananya, sejatinya pandangan ini pada akhirnya akan menggerus konsep keyakinan “iman-kufur”, “tawhid-syirik”, dalam sangat sentral dalam agama Islam.”[3]
Beliau kemudian merumuskan beberapa ciri asasi faham ini iaitu :
1.      Kesetaraan atau persamaan (equality). Ajaran pluralisme agama mengajarkan semua agama sama dan setara, tak ada yang paling baik dan tak ada yang paling buruk.
2.      Liberalisme atau kebebasan. Ajaran pluralisme agama mengajarkan hak kebebasan beragama, dalam arti keluar-masuk agama. Hari ini seseorang boleh menjadi Muslim, esok menjadi Kristen, esok lusa menjadi Hindu, dan seterusnya.
3.      Relativisme. Sebetulnya ini adalah implikasi dari kedua watak yang sebelumnya. Ajaran pluralisme agama mengajarkan kebenaran agama relative.
4.      Reduksionisme. Untuk sampai kepada kesetaraan atau persamaan, ajaran pluralisme agama telah meredusir jati-diri atau identiti agama-agama menjadi entiti yang lebih sempit dan kecil, yakni sebagi urusan pribadi (private affairs). Dengan kata lain pluralism agama itu berwatak sekular.
5.      Eksklusivisme. Ramai orang yang gagal mengidentifikasi dan memahami watak atau ciri yang satu ini. Hal ini disebabkan selama ini ajaran pluralisme agama ini diwar-warkan sebagai anti-eksklusivisme. Ia sering menyuguhkan dirinya sebagai ajaran yang “tampak” ramah dan sangat menghormati ke-berbedaan (the otherness) dan menjunjung tinggi kebebasan. Tapi pada hakikatnya, dia sebetulnya telah merampas kebebasan pihak lain dan menginjak-injak serta memberangus ke-berbedaan, apabila dia mendeklarasikan-diri sebagai pemberi tafsir/teori/ajaran tentang kemajemukan/keberagaman/keberbagaian agama-agama yang absolute benar, i.e., “bahwa semua agama sama.” Jadi sesungguhnya ia telah merampas dan menelanjangi agama-agama dari kleim kebenaran absolute-nya masing-masing untuk kemudian dimiliki dan dimonopoli oleh dirinya sendiri secara eksklusif.”[4]
Kita juga merasakan, ada satu lagi kata-kunci yang turut perlu ditakrifkan iaitu kalimah ‘Malaysia’ itu sendiri. Mungkin kenyataan ini mengejutkan sesetengah pembaca, tetapi kita merasakan bahawa salah satu punca utama perbezaan sikap terhadap beberapa isu yang terkait dengan agama dan bangsa di negara kita berbalik kepada tanggapan yang berlainan terhadap makna dan hakikat sebenar ‘Malaysia’ atau ‘Kemalaysiaan’ itu sendiri. Kita hanya boleh berlaku adil terhadap isu-isu seperti kebebasan beragama, pluralisme agama, ketuanan Melayu atau seumpamanya, jika kita membincangkannya dengan berakar kepada realiti khusus Malaysia.
Secara ringkas, kita tegaskan bahawa ‘Malaysia’ adalah sebuah negara yang beragama dan agamanya adalah Islam. Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan adalah syahadah rasminya yang telah pun dilafazkannya ketika Islam mula sampai ke perpantaiannya. Namanya, iaitu ‘Malaysia’ pula, berakar-umbikan kalimah ‘Melayu’ seperti yang lebih jelas dalam nama asalnya iaitu ‘Tanah Melayu’ atau ‘Kepulauan Melayu’ kerana memang tanah dan kepulauan rantau ini ada penduduk asalnya iaitu kaum Melayu termasuk semua kerabat pecahannya. Seperti mana benua India, Afrika, Tanah Arab dan Tanah Besar Cina semuanya ada kaum penduduk asalnya yang telah ditentukan oleh Tuhan Maha Pencipta. Malaysia berbeza dengan Australia, Amerika Syarikat atau yang lebih dekat Singapura dan adalah kurang bermanfaat malah berbahaya kalau Malaysia hendak mengikut acuan yang tidak serasi dengan hakikat dirinya.
Kesan dan Implikasi Faham Pluralisme Agama
Jika telah jelas kepada kita bahawa Pluralisme Agama adalah suatu faham yang menyeleweng daripada asas Islam, wajar pula kita meneliti kesan dan implikasinya dalam konteks Malaysia secara khusus.
1. Implikasi Aqidah
Pluralisme Agama sangat berpotensi untuk menghakis kemurnian aqidah para penganut Islam di Malaysia secara sedar mahupun tidak. Pluralisme Agama juga membuka pintu kepada kesyirikan dan kekufuran. Jika sudut aqidah umat Islam sudah terkompromi maka sebenarnya keseluruhan jati-diri keagamaan umat itu sendiri sudah tergadai. Allah SWT sangat tegas dalam hal aqidah berbanding aspek lain.
Bercakap tentang Islam di Malaysia, walaupun kita sedar bahawa masih banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu ditampung tetapi menjaga kemurnian aqidah serta bertegas terhadap penyelewengan aqidah adalah antara aspek diberi lebih perhatian. Sejak daripada kes Natrah lagi hinggalah ke kes Nuraishah Bokhari, Azlina Jailani, kes-kes murtad yang sampai ke pengetahuan umum akan menarik reaksi aggresif masyarakat Islam. Pihak yang berwewenang, setakat ini, nampaknya masih bertahan dengan tafsiran dan perlaksanaan undang-undang yang lebih menutup pintu murtad.
Di suatu sudut yang lain, fahaman-fahaman aqidah atas nama Islam yang menyeleweng  turut dikekang dan tidak diberikan kebebasan untuk berkembang-biak.[5] Orang awam di kalangan umat Islam sendiri sangat sensitif dan takut dengan ajaran sesat. Bezanya, Pluralisme Agama adalah suatu fahaman yang datang dalam bentuk yang halus serta dengan imej faham Islam yang lebih moden dan progresif. Oleh itu mungkin sahaja seseorang itu sudah terjerumus ke dalamnya tanpa menyedari atau tanpa merasakan bahawa ianya suatu yang salah.
2. Implikasi Keutuhan Umat
Jika kita sudah kompromi dalam bab aqidah maka umat sudah menghakis keutuhan umat dan menempah kebinasaan kalaupun mungkin kesan zahirnya tidak terus kelihatan. Tetapi, lambat laun Pluralisme Agama akan tetap menimbulkan krisis yang besar dan jelas di tengah-tengah tubuh Umat. Setidak-tidaknya akan mencetuskan pertelingkahan dan perselisihan sesama Islam dalam bab aqidah yang dititik-beratkan oleh orang-orang Islam. Ini adalah kerana adalah mustahil untuk umat Islam di Malaysia untuk bersepakat atas satu kesesatan seumpama Pluralisme Agama. Maka umat akan terpecah kepada dua puak yang mungkin sahaja ketajaman perselisihannya itu lebih tajam berbanding dengan perselisihan politik kepartaian. Malah sudah nyata bahawa pendokong parti politik yang sama pun boleh jadi terjauh hati dan berpecah akibat Pluralisme Agama. Perpecahan adalah antara punca utama kelemahan dan kemunduran Umat yang tak mampu kita tanggung dalam realiti Malaysia.
3. Implikasi Sosio-politik
Susulan dan terkait dengan implikasi agama dan kefahaman, Pluralisme Agama juga akan membawa akibat buruk kepada situasi sosio-politik umat Islam. Apabila kecemburuan umat Islam di Malaysia terhadap agama dapat dicairkan melalui faham ini, maka agama sebagai salah satu benteng paling kukuh bagi formula sosio-politik di Malaysia juga akan dirobohkan. Pengkaji sosio-politik yang insaf akan mengakui bahawa sepanjang sejarah negara, agama menjadi antara faktor utama di sebalik kekukuhan kedudukan umat Islam di negara ini. Keteguhan umat Islam sebagai umat teras dalam masyarakat berbilang kaum dan agama pula menjadi sangga utama yang terbina di sekelilingnya kestabilan dan keharmonian agama. Merongkai formula yang sudah terbukti ini bererti merongkai ikatan yang selama ini mengikat kesebatian masyarakat.
Pendek kata, Pluralisme Agama adalah suatu tikaman ke jantung negara dan bangsa kerana Islam dan keIslaman adalah jantung dan hati kepada Malaysia dan bangsa Melayu sebagai bangsa terasnya. Oleh itu, kalau pun Pluralisme Agama tidak dirasakan terlalu beracun atau berbisa dalam konteks negara lain, di Malaysia ia adalah racun yang membunuh.
Aliran Pemikiran Berkaitan Pluralisme Agama di Malaysia
Adalah lebih memudahkan kita mendapat gambaran yang jelas tentang Pluralisme Agama di negara ini jika kita dapat mengenal-pasti terlebih dahulu tren atau kecenderungan pemikiran yang ada dan bergerak dalam konteks Malaysia. Sesudah mengenali lebih dekat madrasah-madrasah pemikiran ini kita akan turut meninjau isu-isu spesifik berkaitan Pluralisme Agama di Malaysia yang ditimbulkan oleh mereka.
1. Madrasah Arus Perdana Umat
Umat Islam yang berpegang kepada tafsiran para ulama muktabar dalam menangani persoalan. Jika ada lebih daripada satu pandangan atau khilafiyah maka mereka ini akan sedia untuk mengikut pandangan yang dipilih oleh pihak autoriti agama dalam negara atas kaedah (Hukm al-Hakim Yarfa` al-Khilaf). Misalnya dalam isu penggunaan kalimah Allah.[6]
2. Madrasah Arus Pinggiran Umat
Dari kalangan umat Islam yang tidak suka merujuk kepada khazanah warisan atas alasan mahu membebaskan diri dari kongkongan dan kejumudan atau alasan yang senada dengannya. Mereka mungkin berimej Islam, berlatarbelakang aktivis Islam ataupun masih aktif dalam parti berimej Islam tetapi telah terpengaruh dengan ideologi dan fahaman yang tidak selari dengan Islam.
3. Madrasah Arus Luaran
Dari kalangan atau orang bukan Islam yang tidak yakin dengan Islam sebagai cara hidup dan lebih terbudaya dengan gaya hidup bukan Islam.
Boleh juga dikatakan terdapat kategori ke empat, iaitu kes-kes berbau Pluralisme Agama yang terjadi tanpa disengajakan atau disedari. Tidak didorong oleh ideologi yang khusus tetapi semata-mata tuntutan kehidupan bermasyarakat atau berpolitik dalam sebuah negara majmuk seumpama Malaysia.
Isu-isu dan Gejala Pluralisme Agama di Malaysia
Kalaupun suara Pluralisme Agama di negara kita tidak selantang di negara lain seperti di Indonesia misalnya, sebenarnya terdapat di sana sebaris isu-isu yang sebenarnya berakarkan atau terbaur dengan faham ini.
1. Isu murtad dan cinta rentas Agama.
Merujuk kepada kes-kes mendokong usaha pemurtadan umat Islam termasuk melalui tindakan mencabar melalui mahkamah. Turut mempengaruhi segelintir orang Islam. Dalam menyokong murtad atas nama kebebasan beragama, seseorang Muslim boleh terlanjur memperkecilkan kesalahan menukar agama serta mencairkan kebencian terhadap kekufuran.
2. Penubuhan IFC (Interfaith Commission / Suruhanjaya Antara Agama)
Merujuk kepada usaha penubuhan platform dianggotai wakil pelbagai agama secara sama rata bagi menangani pelbagai isu-isu hubungan antara agama. Tuntutan-tuntutan di sebalik penubuhan IFC ini melibatkan usaha menyamakan kedudukan dan hak agama-agama lain agama Islam.
3. Perkongsian Perayaan dan Acara Keagamaan.
Merujuk kepada penganjuran majlis-majlis sambutan hari-hari kebesaran agama secara bersama. Juga penyertaan orang-orang Islam khususnya pemimpin-pemimpin Muslim dalam acara keagamaan di rumah-rumah ibadat agama lain. Boleh terlibat kepada pengiktirafan dan turut memakmurkan kekufuran dan kebatilan. Juga mencairkan kebencian terhadap kekufuran.
4. Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
Merujuk kepada persoalan sama ada para penganut agama lain boleh menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan atau sembahan dalam agama mereka. Selain berupakan pelanggaran terhadap hak Allah SWT dan adab terhadapNya, boleh meleburkan garis-garis pemisah antara Islam dan agama-agama lain.
5. Isu pengharaman Yoga bagi umat Islam.
Merujuk kepada Fatwa Kebangsaan mengharamkan penglibatan orang-orang Muslim dalam senaman Yoga kerana ada unsur-unsur agama lain di dalamnya. Boleh meleburkan pemisahan antara Islam dan agama lain.
6. Mengucapkan salam kepada bukan Islam.
Amalan mengucapkan salam Islam kepada orang bukan Islam. Salam merupakan doa keselamatan dan kesejahteraan yang hakikatnya tidak selari dengan kekufuran dan kebatilan yang ada pada diri mereka. Tanpa menafikan adanya perbezaan pandangan dalam hal ini.
7. Penggunaan ayat-ayat al-Quran dan Hadis oleh orang bukan Islam dalam ucapan-ucapan politik.
Merujuk kepada tindakan beberapa pemimpin politik bukan Islam membaca dan merujuk kepada ayat-ayat al-Quran dan Hadis serta mengulasnya mengikut kefahaman mereka. Boleh membawa gambaran bahawa agama-agama yang berbeza itu berkongsi-kongsi dan berbahagi-bahagi dalam kebenaran.
Selain isu-isu di atas dan yang seumpamanya, Pluralisme Agama juga muncul dalam bentuk gejala-gejala tertentu terutamanya pada kecenderungan sesetengah pemimpin dan tokoh masyarakat beragama Islam untuk membawa mesej Pluralisme Agama dalam ucapan mahu pun tindakan mereka. Nampaknya kecenderungan ini wujud merentasi batas politik kepartian, kerajaan mahupun pembangkang.
Contohnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam satu ucapannya bertajuk “Religion and Pluralisme in a Divided World” pada 18 Mac 2010 di London School of Economics ada mengatakan:
“… it is a stark reality of our world that certain religious groups hold that only certain fundamental doctrines may lead to salvation. This exclusivist outlook unfortunately cuts across the board as between religions as well as within the denominations.”
(…adalah suatu realiti dunia hari ini bahawa sesetengah kumpulan agama percaya bahawa hanya aqidah tertentu yang mampu mencapai keselamatan di Akhirat. Sikap eksklusif sebegini, malangnya dikongsi merentasi pelbagai agama dan mazhab dalaman agama.)
“Back in the 13th century, the mystical poet Jalaluddin al-Rumi wrote in the Masnawi:
The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality.”
(Penyair Sufi , Jalaluddin al-Rumi menulis dalam Mathnawinya, “Lampu-lampunya berbeza tetapi mengeluarkan cahaya yang sama yang datang dari alam lain. Kalau kamu menumpukan hanya pada lampu, kamu akan keliru)
“I believe I’m not alone in saying that for religious pluralism to flourish in a divided world, it is morally unacceptable to say to people of other faiths:
We believe in our God and we believe we are right; you believe in your God, but what you believe in is wrong.[7]
(Saya percaya bukan saya seorang yang mengatakan bahawa untuk Pluralisme Agama berkembang subur dalam dunia berpecah-belah, adalah salah secara moral jika kita mengatakan kepada penganut agama lain : Kami beriman dengan Tuhan kami dan kami percaya kami lah yang benar , kamu beriman dengan Tuhan kamu tetapi kepercayaan kamu itu salah.)
Di pihak kerajaan pula kita perhatikan kecenderungan pendekatan meraikan acara keagamaan agama lain seperti penyertaan YAB Perdana Menteri dan isteri beliau dalam sambutan Thaipusam di kuil Batu Caves atau acara sambutan bersama hari besar agama-agama (kongsi raya). YAB Menteri Besar Kelantan juga tidak terkecuali menerima kritikan atas penyertaannya dalam majlis rasmi kuil Buddha di Kelantan.
Satu lagi gejala yang dapat diperhatikan ialah kecenderungan sesetengah individu dan kumpulan di negara kita terhadap tokoh-tokoh luar yang jelas-jelas menjuarai Pluralisme Agama. Contohnya pujian terhadap tokoh liberalis-pluralis seperti Ulil Absar Abdullah dan Jaringan Islam Liberal yang diasaskannya bersama teman-temannya yang sefikrah.
Kesimpulan dan Saranan
Daripada isu-isu yang telah kita himbau, nampak wujudnya beberapa kecenderungan pemikiran Pluralisme Agama yang bergerak aktif di Malaysia telah tersasar dari asas fahaman Islam yang sebenar.
Walaupun tidak seburuk jika di banding dengan beberapa negara umat Islam lain tetapi oleh kerana masalah ini melibatkan aspek aqidah, apa-apa kepincangan perlu dianggap serius dan kritikal. Dalam realiti dunia tanpa sempadan hari ini, situasi di negara kita boleh mudah terpengaruh oleh perkembangan di negara lain dan keadaan boleh menjadi lebih buruk dalam jangka masa yang singkat.
Oleh kerana kerangka perlembagaan dan perundangan Malaysia membuka jalan kepada penanganan isu ini secara komprehensif, maka segala pendekatan yang ada termasuk pendidikan, kempen kesedaran, dialog, penguatkuasaan undang-undang hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membenteras gejala Pluralisme Agama di negara kita.
Antara langkah yang disarankan:
1. Fatwa-fatwa yang jelas dikeluarkan berkenaan dengan faham Pluralisme Agama dan apa-apa amalan yang berkaitan dengannya.
2. Penerangan tentang Pluralisme Agama, bahaya dan perinciannya perlu dimasukkan dalam sukatan pendidikan di semua peringkat yang sesuai.
3. Maklumat dan penerangan tentang Pluralisme Agama perlu disebarkan di kalangan umat Islam dalam pelbagai bentuk kempen penerangan yang sesuai.
4. Individu dan kumpulan yang menyebarkan faham ini perlu dinasihatkan dan jika mereka berterusan melakukannya perlu disusuli dengan tindakan undang-undang.
5. Pada masa yang sama, orang bukan Islam perlu diberi penerangan tentang asas dan falsafah di sebalik ajaran Islam berkaitan dengan hubungan dan interaksi dengan penganut agama lain. Dengan ini tidak akan timbul salah-faham terhadap ketegasan umat Islam dalam aspek ini. Mereka juga tidak akan secara sengaja terlibat dalam menganjurkan sesuatu yang boleh menjuruskan rakan-rakan Muslim mereka dalam gejala Pluralisme Agama.
Semoga Allah SWT sentiasa menunjukkan kepada kita kebenaran itu dengan sejelas-jelasnya dan memberi kekuatan kepada kita untuk mengikutinya dan mempertahankannya, serta menunjukkan kebatilan itu sebagai kebatilan dan memberi kekuatan kepada kita untuk menjauhi dan mencegahnya. Dan semoga Allah SWT sentiasa memelihara Islam dan Umat Islam di negara yang dicintai ini. WaLlahu a`lam.
 http://muafakatmalaysia.wordpress.com/tag/wacana-fahaman-pluralisme-agama/
dipetik dari 

Azab Kubur


Kebenaran Azab Kubur Berdasarkan al-Quran & Hadith

Alam Barzakh

Barzakh bermaksud rintangan atau pemisahan. Alam barzakh ialah alam pertama daripada alam yang kekal abadi di akhirat. Semua orang yang berada di dalam kubur dinamakan hidup di alam barzakh.
Alam ini berada di antara mati dan bangkit daripada mati. Apabila berada di dalam kubur, kita akan disoal oleh dua malaikat yang bernama Munkar dan Nakir mengenai amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia.
Barzakh dari sudut istilah pula ialah pendinding (hijab) yang terdapat di antara orang mati dan orang hidup. Pendinding inilah yang menghalang orang mati kembali ke dunia. Barzakh (pendinding) ini akan kekal sehingga hari Kiamat. Beberapa Ayat al-Quran Yang Menyatakan Azab Kubur

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta” (Surah Taha: 124)
Menurut Abu Sa‘id al-Khudri dan Abdullah bin Mas‘ud Radhdiallahu ‘anhum perkataan اكنض (yang sempit) adalah azab kubur. Inilah pendapat yang shahih.

“Mereka didedahkan kepada bahan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab api neraka yang seberat-beratnya”. (Surah Ghafir: 46)
Sebahagian ulama’ menjadikan ayat di atas sebagai dalil sabitnya azab kubur. Pendapat ini disepakati oleh Mujahid, ‘Akramah, Muqatil dan Muhammad bin Ka‘ab. Ayat di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa azab kubur itu berlaku di alam barzakh. (Al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, al-Qurtubi: 8/4415-4416)
Imam Ibn Kathir ad-Dimsyaqi menyatakan bahawa Ahli Sunnah menjadikan ayat di atas sebagai dalil yang kukuh berlakunya azab kubur di alam barzakh.

“Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain daripada azab yang tersebut”. (Surah At-Thuur: 47)
Al-Qurtubi menjelaskan dalam tafsirnya bahawa azab itu adalah azab kubur. (At-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirat: 152 & Al-Qurtubi: 9/4786).
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (hartabenda, anak pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian) kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)”. Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari Kiamat)! (Surah at-Takathur: 1-3)

Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa surah ini mengandungi perkataan-perkataan tentang azab kubur. Oleh itu beriman dengannya adalah wajib. Inilah pegangan ahli Sunnah wa al-Jama‘ah. (At-Tazkirah: 152 & al-Qurtubi: 10/5540-5541) Beberapa Hadis-Hadis Yang Menunjukkan Sabitnya Azab Kubur
Daripada riwayat Abi Ayyub katanya:Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar selepas matahari terbenam. Lalu Baginda mendengar suara. Baginda bersabda: “Mayat Yahudi itu diazab di dalam kuburnya” (Hadis riwayat Muslim dan al-Bukhari)
Daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma: Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya mayat itu diazab disebabkan oleh ratapan orang-orang yang hidup” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat Imam Muslim: Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawa mayat itu diazab kerana ratapan keluarga ke atasnya”. (Hadis riwayat Muslim)
Maka jelas daripada segala ayat al-Quran dan hadis yang shahih di atas bahawa azab kubur adalah benar dan sekalian umat Islam wajib mempercayainya dan orang yang mengingkarinya pula adalah ditakuti rosak akidahnya.

Diambil dari Syukbah Dakwah dan Pendidikan, Masjid Negeri Sabah. Siri 40/06

Fiqh Wasaya al-Mawarith- Hijab


1.0              PENDAHULUAN
Islam adalah agama yang syumul dan amat menitikberatkan soal keadilan dalam menegakkan hukum yang menyentuh mengenai kemaslahatan ummah. Islam telah menggariskan hukum – hukumnya berpandukan Al – Qur’an  dan  hadith sebagai rujukan dalam melaksanakan hukum berkaitan dengan pembahagian harta pusaka . Allah s.w.t  telah berfirman, yang bermaksud:
“ Orang – orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat . Orang – orang perempuan juga ada bahagian dari peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat , sama ada sedikit ataupun banyak , daripada harta yang ditinggalkan itu mengikut bahagian yang telah ditetapkan  ( oleh Allah ).”
                                                                                                                      ( Surah An – Nisa’ : 7 )
Ayat – ayat al – Qur’an diatas jelas menunjukkan bahawa pembahagian harta atau wasiat adalah disyariatkan. Selain itu, terdapat hadith – hadith Nabi yang menjelaskan tentang galakan untuk menulis wasiat sebagai memenuhi keperluan sosial secara adil dan saksama.
Sabda Rasulullah s.a.w,
“ Serahkanlah bahagian – bahagian pusaka yang ditetapkan itu kepada para pemiliknya . Apa jua yang masih berbaki, maka serahkanlah ia kepada waris lelaki yang terdekat. ”
                                                                                                    ( Riwayat Bukhari  dan Muslim )
“ Pelajarilah ilmu faraidh, dan ajarkanlah ia kepada orang lain.”
                                                                                                                       ( Riwayat al Hakim )
            Dengan penetapan dalil – dalil Al- Qur’an dan hadith – hadith Nabi diatas serta kesepakatan ulama, maka jelaslah pembahagian pusaka adalah menjadi suatu kewajipan yang disyariatkan untuk dilaksanakan bagi memastikan harta pusaka dapat diserahkan kepada pemilik yang benar – benar layak mewarisinya.
            Para sahabat r.a juga mengambil perhatian terhadap ilmu faraidh, dengan menggalakkan mempelajarinya atau mengajarkannya kepada umat Islam . Mengenainya , Umar bin al Khattab r.a sendiri pernah berkata : “ Pelajarilah ilmu faraidh , kerana ia sebahagian daripada agama kamu . ”
2.0              DEFINISI
‘ Hijab’ beerti halangan.  Menurut pandangan Syara’ pula ialah menghalang orang yang berhak menerima pusaka kesemua atau sebahagian daripadanya.
3.0              JENIS – JENIS HIJAB
Hijab terbahagi kepada dua jenis seperti yang telah ditetapkan iaitu, hijab kerana sesuatu sifat dan hijab kerana seseorang individu.
3.1       Hijab kerana sesuatu sifat
Hijab kerana sesuatu sifat bermakna menghalang seseorang yang layak menerima pusaka daripada menerima pusakanya atas sebab – sebab  sifat yang menjadi yang halangan untuk menerimanya. Antara sifat – sifat yang menjadi penghalang untuk seseorang menerima pusaka ialah seperti ; perhambaan, membunuh dan kufur. Hal ini telah diterangkan dengan dalil – dalil  Naqli secara jelas.Orang yang dihalang untuk menerima pusaka kerana sesuatu sifat dikenali sebagai mahrum.
3.2       Hijab kerana seseorang individu
Hijab kerana seseorang individu ialah menghalang seseorang yang menerima pusaka sama ada sebahagian atau kesemua pusaka atas sebab ada orang yang mempunyai pertalian darah yang lebih dekat dengan si mati. Sementara, hijab kerana seorang individu pula, dibahagikan kepada dua bahagian iaitu hijab pengharaman dan hijab pengurangan.
Hijab pengharaman diertikan sebagai menghalang seseorang daripada menerima bahagian pusakanya misalnya seperti anak lelaki ( al – ibnu ) akan menghalang anak lelaki kepada anak lelaki ( ibnul ibni ). Manakala, hijab pengurangan ialah menghalang seseorang daripada menerima sebahagian bahagian pusakanya, misalnya pusaka suami dikurangkan jumlahnya daripada satu perdua ½ kepada satu perempat ¼  sekiranya isterinya mempunyai anak.Terdapat enam golongan yang tidak akan termasuk di dalam hijab pengharaman iaitu yang terdiri daripada bapa, ibu , anak lelaki, anak perempuan, suami dan isteri. Selain daripada mereka adalah golongan yang termasuk di dalam hijab pengharaman.

3.3       Golongan yang Terhijab Sebagai Hijab Pengharaman
Antara golongan yang akan terhijab disebabkan hijab pengharaman ialah;
v  Datuk, dihalang mewarisi pusaka oleh bapa sama ada menerusi fardh atau ‘ashobah atau kedua – duanya sekali . Ini adalah kerana kedudukan bapa yang lebih rapat dengan si mati berbanding dengan datuk yang dihubungkan dengan si mati melalui bapa. Ini bermakna, selagi masih ada bapa, maka datuk akan terhijab.

v  Nenek, sama ada kedudukannya disebelah bapa atau disebelah ibu akan dihalang oleh ibu. Manakala, nenek disebelah bapa juga dihalang oleh bapa kerana ia dihubungkan dengan si mati melalui bapa.
v  Nenek – nenek yang jauh sebelah bapa. Sekiranya si mati mempunyai dua orang nenek yang berlainan daripada segi pihak dan nasabnya yang terdiri dari seorang disebelah bapa, manakala seorang lagi disebelah ibu, dan salah seorang daripada mereka lebih rapat dengan si mati. Contohnya, ibu kepada ibu ( umm al – umm ) dan ibu kepada ibu kepada bapa ( umm umm al – ab ).Maka, nenek sebelah ibu  akan menghijab nenek – nenek yang jauh dari sebelah bapa.Nenek disebelah ibu akan menerima 1/6 atas dua sebab iaitu; kedudukannya lebih rapat dan dia datang daripada pihak ibu.Sebaliknya,mengikut mazhab syafei, seandainya nenek sebelah bapa lebih rapat dengan si mati, maka dia tidak menghijab nenek diselah ibu, tetapi ia akan berkongsi satu perenam 1/6.

v  Anak kepada anak lelaki ( walad al – ibni ).Anak – anak kepada anak lelaki sama ada lelaki atau perempuan akan dihijab oleh anak lelaki ( al – ibnu ) sama ada dia adalah bapa mereka atau bapa saudara sebelah bapa mereka. Demikian juga, setiap anak kepada anak lelaki akan menghijab mereka yang pertalian darahnya lebih jauh daripada mereka.Selanjutnya, anak – anak perempuan kepada anak lelaki ( banat al – ibni ) pula akan terhijab seandainya terdapat dua orang anak perempuan  ( bintain ) melainkan jika ada anak lelaki kepada anak lelaki  ( ibnul ibni ) yang akan menjadikan mereka termasuk di dalam ‘ashobah, sama ada kedudukan anak lelaki kepada anak lelaki ini setaraf dengan mereka atau lebih rendah.


v  Semua adik – beradik lelaki atau perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu akan dihijab seandainya terdapat bapa, anak atau anak lelaki kepada anak lelaki ( ibnul ibni ). Hukum ini telah ditetapkan oleh ijma’ ulama.Tetapi, datuk adalah terkecuali daripada kaedah ini kerana kedudukannya tidak boleh menghijab adik – beradik lelaki atau perempuan seibu sebapa ( ikhwah asyiqqa’ atau akhawat syaaqiqat ) dan adik – beradik lelaki atau perempuan sebapa ( ikhwah atau akhawat li – ab ). Mereka sama – sama menerima pusaka kerana taraf mereka sama dengan si mati dan hubungan mereka dengan si mati tidak melalui perantaraan datuk.
Sementara, adik – beradik lelaki dan perempuan sebapa  ( ikhwah dan akhawat li – ab ) akan dihijab oleh adik – beradik lelaki atau perempuan seibu sebapa  ( akh syaqiqn atau ukht syaqiqah ) sekiranya bersama anak perempuan ( al – bint ) atau anak perempuan kepada anak lelaki ( bintul ibni ). Dalam kes ini, anak perempuan menjadi ‘ashobah kerana bersama orang lain. Oleh itu,kedudukan dia  adalah seperti adik – beradik seibu sebapa. ( akh syaqiq )
Adik – beradik perempuan sebapa ( akhawat li – ab ) juga akan dihijab oleh dua orang adik – beradik perempuan seibu sebapa ( ukhtain syaqiqatain ) melainkan sekiranya terdapat adik – beradik lelaki sebapa ( akh li – ab ) yang akan  menjadikan mereka ‘ashobah . Namun, bagi adik – beradik lelaki seibu , pula selain daripada tiga orang yang menghijabnya iaitu terdiri daripada; bapa, anak lelaki dan anak lelaki kepada anak lelaki , ia akan dihijab juga oleh beberapa ahli keluarga yang terdekat juga seperti; anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki dan juga datuk.Hukum ini berdasarkan ijma’ ulama.
Sungguh pun begitu, ibu tidak boleh menghijab adik – beradik lelaki seibu, walaupun pertalian si mati adalah melalui perantara ibu. Hal ini kerana, syarat bagi hijab oleh perantara ialah mereka berada dalam satu pihak seperti datuk dengan bapa, nenek dengan ibu, atau perantara tersebut layak memperolehi kesemua pusaka sekiranya dia bersendirian seperti adik – beradik lelaki dengan bapa. Situasi ini tidak berlaku dalam kes ibu bersama anaknya kerana ibu mewarisi pusaka melalui pertalian darah atau keibuan, manakala adik – beradik mewarisinya melalui pertalian adik – beradik.Namun, ibu tidak layak menerima kesemua pusaka memandangkan dia bersendirian dan dia hanya menerima satu pertiga 1/3 sahaja.


v  Anak – anak lelaki kepada adik – beradik lelaki seibu sebapa ( abna’ ikhwah asyiqqa’ )atau sebapa  ( abna’ ikhwah li – ab ). Mereka ini akan dihijab jika terdapat beberapa orang yang mempunyai pertalian keluarga yang lebih dekat dengan si mati , misalnya wujud :
a)      Bapa, dimana bapa si mati menghijab bapa mereka, apatah pula mereka.
b)      Datuk dimana kedudukannya setaraf dengan bapa mereka.
c)      Anak lelaki , dimana dia menghijab bapa mereka , bahkan mereka.
d)     Anak lelaki kepada anak lelaki ( ibnul ibni ).
e)      Adik – beradik lelaki seibu sebapa ( akh syaqiq) kerana ia lebih rapat pertaliannya jika dibandingkan dengan mereka
f)       Adik – beradik lelaki sebapa ( akh li – ab )juga kerana mereka lebih rapat berbanding dengan mereka.

Walaubagaimanapun, anak lelaki kepada adik – beradik lelaki sebapa ( ibnu akh li – ab ) akan dihijab oleh anak lelaki kepada adik – beradik lelaki seibu sebapa ( ibnu akh syaqiq ) disebabkan kedudukannya yang lebih kukuh. Sementara, anak – anak kepada adik – beradik lelaki seibu ( aulad ikhwah li – umm ) pula merupakan zawil Arham. Mereka tidak layak memperolehi pusaka melalui fardh.

v  Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa  ( amm syaqiq ) atau sebapa ( amm li – ab ). Mereka tidak akan menerima pusaka seandainya terdapat ahli keluarga lain yang mempunyai pertalian darah yang akan menghijab mereka seperti; bapa, datuk, anak lelaki, anak lelaki kepada anak lelaki  ( ibnul ibni ) dan seterusnya, adik beradik lelaki seibu sebapa ( akh syaqiq ),adik – beradik lelaki sebapa ( akh li – ab ), anak lelaki kepada adik – beradik lelaki seibu sebapa ( ibnu akh syaqiq ), anak lelaki kepada adik – beradik lelaki sebapa ( ibnu akh li – ab ), adik – beradik perempuan seibu sebapa  ( ukht syaqiqah ) sekiranya wujud bersamanya anak perempuan ( al – bint ) atau anak perempuan kepada anak lelaki ( bintul ibni ).Hal ini kerana, dalam situasi ini dia menjadi ‘ashobah bersama – sama orang lain , dimana kedudukannya sama seperti adik – beradik lelaki seibu sebapa ( akh syaqiq ) dan adik – beradik perempuan sebapa ( ukht li – ab ), sekiranya wujud bersamanya anak perempuan ( al – bint ) atau anak perempuan kepada anak lelaki ( bintul ibni ). Ini kerana, dalam situasi ini dia menjadi ‘ashobah kerana bersama orang lain.

v  Anak – anak kepada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa ( aulad amm syaqiq )atau sebapa ( aulad amm li – ab ). Selain nama diatas , anak – anak kepada adik – beradik lelaki ayah seibu sebapa atau sebapa juga turut dihijab , sekiranya terdapat , bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa atau sebapa  ( amm syaqiq atau li – ab ).Sementara anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa sebapa  ( ibnu amm li – ab ) akan dihijab oleh anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa.

Namun begitu, suatu perkara yang perlu diketahui ialah anak lelaki kepada adik – beradik lelaki seibu sebapa atau sebapa ( ibnu akh syaqiq atau li – ab ) tidak boleh menjadikan adik – beradik perempuannya sebagai ‘ashobah . Ini kerana anak perempuan kepada adik – beradik lelaki  ( bintul akh ) tidak berhak memperolehi pusaka melalui fardh. Malah, dia juga tidak berhak memperolehi harta secara ‘ashobah. Namun, dia termasuk di dalam Zawil Arham .
3.4       Golongan yang Dihijab dengan Hijab Pengurangan
Hijab pengurangan adalah melibatkan semua golongan di dalam ahli keluarga si mati. Melalui kaedah hijab pengurangan , semua waris menerima pengurangan pusaka seperti berikut:
Ø  Suami, sekiranya mempunyai anak akan dihijab dari satu perdua ½  menjadi  satu perempat ¼ .
Ø  Isteri, sekiranya mempunyai anak akan dihijab dari satu perempat ¼ menjadi satu perlapan 1/8 .
Ø  Ibu, sekiranya si mati mempunyai anak atau mempunyai lebih dari seorang adik – beradik, akan dihijab dari satu pertiga 1/3 menjadi satu perenam 1/6 .
Ø  Anak perempuan kepada anak lelaki ( bintul ibni ), sekiranya si mati mempunyai anak perempuan ( al – bint ), akan dihijab dari satu perdua ½ menjadi satu perenam 1/6 .
Ø  Adik – beradik perempuan sebapa ( ukht li – ab ), sekiranya si mati mempunyai adik – beradik perempuan seibu sebapa ( ukht – Syaqiqah ), akan dihijab dari satu perdua ½ menjadi satu perenam 1/6 .
Ø  Anak lelaki akan dihijab nuqsan ( kurang ) sekiranya wujud anak lelaki yang lain.
  
4.0  ISU – ISU  TENTANG PERMASALAHAN HIJAB
Orang yang Dihijab dengan Hijab Pengharaman akan Mengurangkan Hak Orang Lain
           Bagi orang yang dihijab dengan hijab pengharaman , mengikut kaedah ini, dia diiktiraf masih lagi wujud. Mereka ini akan menghijab orang lain dengan hijab pengurangan. Misalnya, , sekiranya si mati meninggalkan seorang datuk , seorang ibu, serta dua orang adik – beradik seibu. Maka , adik – beradik seibu tadi akan dihijab oleh datuk. Pada masa yang sama, dua orang adik – beradik seibu ini akan mengurangkan bahagian pusaka ibu dari satu pertiga 1/3 menjadi satu perenam 1/6.
         Demikian pula, sekiranya si mati meninggalkan seorang adik – beradik lelaki seibu sebapa ( akh syaqiq ) , seorang adik – beradik lelaki sebapa ( akh li – ab ) serta seorang ibu. Ibu akan memperolehi satu perenam 1/6 kerana terdapat dua orang adik – beradik , walaupun adik – beradik sebapa telah dihijab oleh adik – beradik seibu sebapa.
Orang yang Dihijab kerana Sesuatu Sifat Tidak Memberi Kesan Kepada Waris Keluarga Lain
Bagi orang yang dihijab dengan sebab sesuatu sifat, misalnya kafir, hamba atau pembunuhan, ia tidak menjejaskan waris lain, dengan itu dia tidak menjadi penghijab kepada waris lain.Hal ini bermakna, kewujudan dan ketiadaannya adalah sama sahaja. Sekiranya, si mati mempunyai seorang anak yang membunuh dan seorang ibu. Maka ibu akan memperolehi satu per tiga 1/3 walaupun anak yang membunuh itu masih ada kerana dia diharamkan mewarisi pusaka.Dengan itu, dia tidak boleh menghijab sesiapa pun.
Menurut Ustaz md. Yazid Ahmad. Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam ( petikan solusi keluaran Jun 2011 ), berkata : “Semua jenis pembunuhan menghalang waris yang membunuh itu daripada mewarisi harta orang yang dibunuhnya. Hal ini merangkumi pembunuhan yang dilakukan secara sengaja dan juga pembunuhan tidak sengaja. Begitu juga jika pembunuhan itu dilakukan dengan hak, contohnya, seorang hakim (bapa) yang menjatuhkan hukuman bunuh ke atas anaknya yang telah disabitkan bersalah kerana membunuh, tidak boleh mewarisi harta anak yang dijatuhkan hukuman bunuh itu.
            Selain itu, pembunuhan yang dilakukan dengan pilihan atau terpaksa, orang yang tidak berakal atau belum baligh dan orang  yang menyebabkan kematian seseorang biarpun dia bermaksud untuk mendidik, juga menjadi penghalang kepada pewarisan.Ini kerana mazhab syafi’i berpegang kepada keumunan hadith rasulullah s.a.w yang bermaksud “orang yang membunuh tidak akan mewarisi sedikit pun harta orang yang dibunuhnya.”(riwayat ibn majah)
            Walaupun demikian, orang yang dibunuh itu boleh mewarisi pusaka pembunuhnya. Sebagai contoh, seorang anak mencederakan bapanya sehingga menyebabkan kematian. Sebelum bapa itu mati, anak yang melakukan perbuatan tersebut ditakdirkan mati terlebih dahulu. Maka dengan itu, bapanya boleh mewarisi harta anak yang melakukan perbuatan mencederakannya sehingga menyebabkan kematian kerana tiada sebarang halangan yang menghalang si bapa daripada menerima pusaka anaknya.”
                                              












4.0              PENUTUP
Islam ialah agama yang mengajarkan tentang keadilan dan kasih sayang serta menyeru manusia ke arah kebaikan. Dalam pelbagai lapangan, ajaran Islam sentiasa relevan dengan keadaan semasa serta mengikut peredaran zaman. Islam telah meletakkan Al – Quran dan Hadith sebagai ilmu tertinggi dan menjadi panduan manusia seluruhnya dalam soal – soal kehidupan manusia. Misalnya, dalam persoalan pembahagian harta pusaka menurut kaca mata Islam yang berlandaskan ketetapan syara’ telah menggariskan peraturan untuk dipatuhi semata – mata menjaga kemaslahatan umatnya.
            Ilmu pusaka adalah ilmu yang membincangkan mengenai persoalan pengurusan harta pusaka mengikut sistem Islam. Hijab adalah salah satu ilmu yang terkandung di dalam pembahagian pusaka, dimana , menurut syara’ hijab ialah menghalang orang yang layak menerima pusaka daripada menerima pusaka semua sekali atau sebahagiannya. Dalam pembahagian hijab, terdapat dua jenis hijab iaitu hijab kerana sesuatu sifat dan hijab kerana seseorang individu. Terdapat golongan yang dimasukkan di dalam hijab kerana sesuatu sifat , terdiri daripada perhambaan, kufur dan membunuh.Dikenali sebagai mahrum. Mereka akan terhalang sama sekali daripada menerima pusaka. Sementara, hijab disebabkan seseorang individu pula ialah menghalang daripada menerima pusaka sama ada semua atau sebahagian daripada harta pusaka kerana wujudnya waris yang lebih dekat dengan si mati.Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu hijab pengharaman dan hijab pengurangan.
            Hijab pengharaman bermaksud menghalang seseorang daripada menerima pusaka sama sekali kerana terdapat waris yang lebih layak. Golongan yang yang akan dihijab dengan hijab pengharaman ialah datuk, nenek serta nenek – nenek yang jauh sebelah bapa. Manakala, hijab pengurangan ialah menghalang seseorang daripada sebahagian hak pusakanya, diamana jumlah bahagiannya akan dikurangkan kerana wujud seseorang yang memang berhak menerima pusaka juga dikalangan waris. Justeru, dengan kita memahami kaedah hijab ini akan mengetahui kedudukan sebenar hak pewarisan harta pusaka di samping megetahui keadilan Islam dalam soal yang berkaitan dengan persoalan pewarisan harta pusaka. Disini menunjukkan Islam sangat menitikberatkan persoalan keadilan demi menjaga hak – hak pewaris yang benar – benar layak menerimanya tanpa menzalimi sesiapa pun.Maka hubungan kasih syang dan silaturrahim dapat dikekalkan serta dieratkan, manakala sikap persengketaan dan permusuhan dapat dielakkan .
5.0              BIBLIOGRAFI
Al – Quran Al- Karim                               
Dr. Mustofa Al – Khin et. Al. 2009. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Kuala Lumpur : Pustaka Salam
            Sdn. Bhd.
Ustaz Mohd Yazid Ahmad .2011. “ Pembunuh Tidak Dapat Pusaka”. Solusi , Keluaran Jun :
            Hlm 32.