Friday 12 August 2011

Fiqh Wasaya al-Mawarith- Hijab


1.0              PENDAHULUAN
Islam adalah agama yang syumul dan amat menitikberatkan soal keadilan dalam menegakkan hukum yang menyentuh mengenai kemaslahatan ummah. Islam telah menggariskan hukum – hukumnya berpandukan Al – Qur’an  dan  hadith sebagai rujukan dalam melaksanakan hukum berkaitan dengan pembahagian harta pusaka . Allah s.w.t  telah berfirman, yang bermaksud:
“ Orang – orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat . Orang – orang perempuan juga ada bahagian dari peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat , sama ada sedikit ataupun banyak , daripada harta yang ditinggalkan itu mengikut bahagian yang telah ditetapkan  ( oleh Allah ).”
                                                                                                                      ( Surah An – Nisa’ : 7 )
Ayat – ayat al – Qur’an diatas jelas menunjukkan bahawa pembahagian harta atau wasiat adalah disyariatkan. Selain itu, terdapat hadith – hadith Nabi yang menjelaskan tentang galakan untuk menulis wasiat sebagai memenuhi keperluan sosial secara adil dan saksama.
Sabda Rasulullah s.a.w,
“ Serahkanlah bahagian – bahagian pusaka yang ditetapkan itu kepada para pemiliknya . Apa jua yang masih berbaki, maka serahkanlah ia kepada waris lelaki yang terdekat. ”
                                                                                                    ( Riwayat Bukhari  dan Muslim )
“ Pelajarilah ilmu faraidh, dan ajarkanlah ia kepada orang lain.”
                                                                                                                       ( Riwayat al Hakim )
            Dengan penetapan dalil – dalil Al- Qur’an dan hadith – hadith Nabi diatas serta kesepakatan ulama, maka jelaslah pembahagian pusaka adalah menjadi suatu kewajipan yang disyariatkan untuk dilaksanakan bagi memastikan harta pusaka dapat diserahkan kepada pemilik yang benar – benar layak mewarisinya.
            Para sahabat r.a juga mengambil perhatian terhadap ilmu faraidh, dengan menggalakkan mempelajarinya atau mengajarkannya kepada umat Islam . Mengenainya , Umar bin al Khattab r.a sendiri pernah berkata : “ Pelajarilah ilmu faraidh , kerana ia sebahagian daripada agama kamu . ”
2.0              DEFINISI
‘ Hijab’ beerti halangan.  Menurut pandangan Syara’ pula ialah menghalang orang yang berhak menerima pusaka kesemua atau sebahagian daripadanya.
3.0              JENIS – JENIS HIJAB
Hijab terbahagi kepada dua jenis seperti yang telah ditetapkan iaitu, hijab kerana sesuatu sifat dan hijab kerana seseorang individu.
3.1       Hijab kerana sesuatu sifat
Hijab kerana sesuatu sifat bermakna menghalang seseorang yang layak menerima pusaka daripada menerima pusakanya atas sebab – sebab  sifat yang menjadi yang halangan untuk menerimanya. Antara sifat – sifat yang menjadi penghalang untuk seseorang menerima pusaka ialah seperti ; perhambaan, membunuh dan kufur. Hal ini telah diterangkan dengan dalil – dalil  Naqli secara jelas.Orang yang dihalang untuk menerima pusaka kerana sesuatu sifat dikenali sebagai mahrum.
3.2       Hijab kerana seseorang individu
Hijab kerana seseorang individu ialah menghalang seseorang yang menerima pusaka sama ada sebahagian atau kesemua pusaka atas sebab ada orang yang mempunyai pertalian darah yang lebih dekat dengan si mati. Sementara, hijab kerana seorang individu pula, dibahagikan kepada dua bahagian iaitu hijab pengharaman dan hijab pengurangan.
Hijab pengharaman diertikan sebagai menghalang seseorang daripada menerima bahagian pusakanya misalnya seperti anak lelaki ( al – ibnu ) akan menghalang anak lelaki kepada anak lelaki ( ibnul ibni ). Manakala, hijab pengurangan ialah menghalang seseorang daripada menerima sebahagian bahagian pusakanya, misalnya pusaka suami dikurangkan jumlahnya daripada satu perdua ½ kepada satu perempat ¼  sekiranya isterinya mempunyai anak.Terdapat enam golongan yang tidak akan termasuk di dalam hijab pengharaman iaitu yang terdiri daripada bapa, ibu , anak lelaki, anak perempuan, suami dan isteri. Selain daripada mereka adalah golongan yang termasuk di dalam hijab pengharaman.

3.3       Golongan yang Terhijab Sebagai Hijab Pengharaman
Antara golongan yang akan terhijab disebabkan hijab pengharaman ialah;
v  Datuk, dihalang mewarisi pusaka oleh bapa sama ada menerusi fardh atau ‘ashobah atau kedua – duanya sekali . Ini adalah kerana kedudukan bapa yang lebih rapat dengan si mati berbanding dengan datuk yang dihubungkan dengan si mati melalui bapa. Ini bermakna, selagi masih ada bapa, maka datuk akan terhijab.

v  Nenek, sama ada kedudukannya disebelah bapa atau disebelah ibu akan dihalang oleh ibu. Manakala, nenek disebelah bapa juga dihalang oleh bapa kerana ia dihubungkan dengan si mati melalui bapa.
v  Nenek – nenek yang jauh sebelah bapa. Sekiranya si mati mempunyai dua orang nenek yang berlainan daripada segi pihak dan nasabnya yang terdiri dari seorang disebelah bapa, manakala seorang lagi disebelah ibu, dan salah seorang daripada mereka lebih rapat dengan si mati. Contohnya, ibu kepada ibu ( umm al – umm ) dan ibu kepada ibu kepada bapa ( umm umm al – ab ).Maka, nenek sebelah ibu  akan menghijab nenek – nenek yang jauh dari sebelah bapa.Nenek disebelah ibu akan menerima 1/6 atas dua sebab iaitu; kedudukannya lebih rapat dan dia datang daripada pihak ibu.Sebaliknya,mengikut mazhab syafei, seandainya nenek sebelah bapa lebih rapat dengan si mati, maka dia tidak menghijab nenek diselah ibu, tetapi ia akan berkongsi satu perenam 1/6.

v  Anak kepada anak lelaki ( walad al – ibni ).Anak – anak kepada anak lelaki sama ada lelaki atau perempuan akan dihijab oleh anak lelaki ( al – ibnu ) sama ada dia adalah bapa mereka atau bapa saudara sebelah bapa mereka. Demikian juga, setiap anak kepada anak lelaki akan menghijab mereka yang pertalian darahnya lebih jauh daripada mereka.Selanjutnya, anak – anak perempuan kepada anak lelaki ( banat al – ibni ) pula akan terhijab seandainya terdapat dua orang anak perempuan  ( bintain ) melainkan jika ada anak lelaki kepada anak lelaki  ( ibnul ibni ) yang akan menjadikan mereka termasuk di dalam ‘ashobah, sama ada kedudukan anak lelaki kepada anak lelaki ini setaraf dengan mereka atau lebih rendah.


v  Semua adik – beradik lelaki atau perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu akan dihijab seandainya terdapat bapa, anak atau anak lelaki kepada anak lelaki ( ibnul ibni ). Hukum ini telah ditetapkan oleh ijma’ ulama.Tetapi, datuk adalah terkecuali daripada kaedah ini kerana kedudukannya tidak boleh menghijab adik – beradik lelaki atau perempuan seibu sebapa ( ikhwah asyiqqa’ atau akhawat syaaqiqat ) dan adik – beradik lelaki atau perempuan sebapa ( ikhwah atau akhawat li – ab ). Mereka sama – sama menerima pusaka kerana taraf mereka sama dengan si mati dan hubungan mereka dengan si mati tidak melalui perantaraan datuk.
Sementara, adik – beradik lelaki dan perempuan sebapa  ( ikhwah dan akhawat li – ab ) akan dihijab oleh adik – beradik lelaki atau perempuan seibu sebapa  ( akh syaqiqn atau ukht syaqiqah ) sekiranya bersama anak perempuan ( al – bint ) atau anak perempuan kepada anak lelaki ( bintul ibni ). Dalam kes ini, anak perempuan menjadi ‘ashobah kerana bersama orang lain. Oleh itu,kedudukan dia  adalah seperti adik – beradik seibu sebapa. ( akh syaqiq )
Adik – beradik perempuan sebapa ( akhawat li – ab ) juga akan dihijab oleh dua orang adik – beradik perempuan seibu sebapa ( ukhtain syaqiqatain ) melainkan sekiranya terdapat adik – beradik lelaki sebapa ( akh li – ab ) yang akan  menjadikan mereka ‘ashobah . Namun, bagi adik – beradik lelaki seibu , pula selain daripada tiga orang yang menghijabnya iaitu terdiri daripada; bapa, anak lelaki dan anak lelaki kepada anak lelaki , ia akan dihijab juga oleh beberapa ahli keluarga yang terdekat juga seperti; anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki dan juga datuk.Hukum ini berdasarkan ijma’ ulama.
Sungguh pun begitu, ibu tidak boleh menghijab adik – beradik lelaki seibu, walaupun pertalian si mati adalah melalui perantara ibu. Hal ini kerana, syarat bagi hijab oleh perantara ialah mereka berada dalam satu pihak seperti datuk dengan bapa, nenek dengan ibu, atau perantara tersebut layak memperolehi kesemua pusaka sekiranya dia bersendirian seperti adik – beradik lelaki dengan bapa. Situasi ini tidak berlaku dalam kes ibu bersama anaknya kerana ibu mewarisi pusaka melalui pertalian darah atau keibuan, manakala adik – beradik mewarisinya melalui pertalian adik – beradik.Namun, ibu tidak layak menerima kesemua pusaka memandangkan dia bersendirian dan dia hanya menerima satu pertiga 1/3 sahaja.


v  Anak – anak lelaki kepada adik – beradik lelaki seibu sebapa ( abna’ ikhwah asyiqqa’ )atau sebapa  ( abna’ ikhwah li – ab ). Mereka ini akan dihijab jika terdapat beberapa orang yang mempunyai pertalian keluarga yang lebih dekat dengan si mati , misalnya wujud :
a)      Bapa, dimana bapa si mati menghijab bapa mereka, apatah pula mereka.
b)      Datuk dimana kedudukannya setaraf dengan bapa mereka.
c)      Anak lelaki , dimana dia menghijab bapa mereka , bahkan mereka.
d)     Anak lelaki kepada anak lelaki ( ibnul ibni ).
e)      Adik – beradik lelaki seibu sebapa ( akh syaqiq) kerana ia lebih rapat pertaliannya jika dibandingkan dengan mereka
f)       Adik – beradik lelaki sebapa ( akh li – ab )juga kerana mereka lebih rapat berbanding dengan mereka.

Walaubagaimanapun, anak lelaki kepada adik – beradik lelaki sebapa ( ibnu akh li – ab ) akan dihijab oleh anak lelaki kepada adik – beradik lelaki seibu sebapa ( ibnu akh syaqiq ) disebabkan kedudukannya yang lebih kukuh. Sementara, anak – anak kepada adik – beradik lelaki seibu ( aulad ikhwah li – umm ) pula merupakan zawil Arham. Mereka tidak layak memperolehi pusaka melalui fardh.

v  Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa  ( amm syaqiq ) atau sebapa ( amm li – ab ). Mereka tidak akan menerima pusaka seandainya terdapat ahli keluarga lain yang mempunyai pertalian darah yang akan menghijab mereka seperti; bapa, datuk, anak lelaki, anak lelaki kepada anak lelaki  ( ibnul ibni ) dan seterusnya, adik beradik lelaki seibu sebapa ( akh syaqiq ),adik – beradik lelaki sebapa ( akh li – ab ), anak lelaki kepada adik – beradik lelaki seibu sebapa ( ibnu akh syaqiq ), anak lelaki kepada adik – beradik lelaki sebapa ( ibnu akh li – ab ), adik – beradik perempuan seibu sebapa  ( ukht syaqiqah ) sekiranya wujud bersamanya anak perempuan ( al – bint ) atau anak perempuan kepada anak lelaki ( bintul ibni ).Hal ini kerana, dalam situasi ini dia menjadi ‘ashobah bersama – sama orang lain , dimana kedudukannya sama seperti adik – beradik lelaki seibu sebapa ( akh syaqiq ) dan adik – beradik perempuan sebapa ( ukht li – ab ), sekiranya wujud bersamanya anak perempuan ( al – bint ) atau anak perempuan kepada anak lelaki ( bintul ibni ). Ini kerana, dalam situasi ini dia menjadi ‘ashobah kerana bersama orang lain.

v  Anak – anak kepada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa ( aulad amm syaqiq )atau sebapa ( aulad amm li – ab ). Selain nama diatas , anak – anak kepada adik – beradik lelaki ayah seibu sebapa atau sebapa juga turut dihijab , sekiranya terdapat , bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa atau sebapa  ( amm syaqiq atau li – ab ).Sementara anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa sebapa  ( ibnu amm li – ab ) akan dihijab oleh anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa.

Namun begitu, suatu perkara yang perlu diketahui ialah anak lelaki kepada adik – beradik lelaki seibu sebapa atau sebapa ( ibnu akh syaqiq atau li – ab ) tidak boleh menjadikan adik – beradik perempuannya sebagai ‘ashobah . Ini kerana anak perempuan kepada adik – beradik lelaki  ( bintul akh ) tidak berhak memperolehi pusaka melalui fardh. Malah, dia juga tidak berhak memperolehi harta secara ‘ashobah. Namun, dia termasuk di dalam Zawil Arham .
3.4       Golongan yang Dihijab dengan Hijab Pengurangan
Hijab pengurangan adalah melibatkan semua golongan di dalam ahli keluarga si mati. Melalui kaedah hijab pengurangan , semua waris menerima pengurangan pusaka seperti berikut:
Ø  Suami, sekiranya mempunyai anak akan dihijab dari satu perdua ½  menjadi  satu perempat ¼ .
Ø  Isteri, sekiranya mempunyai anak akan dihijab dari satu perempat ¼ menjadi satu perlapan 1/8 .
Ø  Ibu, sekiranya si mati mempunyai anak atau mempunyai lebih dari seorang adik – beradik, akan dihijab dari satu pertiga 1/3 menjadi satu perenam 1/6 .
Ø  Anak perempuan kepada anak lelaki ( bintul ibni ), sekiranya si mati mempunyai anak perempuan ( al – bint ), akan dihijab dari satu perdua ½ menjadi satu perenam 1/6 .
Ø  Adik – beradik perempuan sebapa ( ukht li – ab ), sekiranya si mati mempunyai adik – beradik perempuan seibu sebapa ( ukht – Syaqiqah ), akan dihijab dari satu perdua ½ menjadi satu perenam 1/6 .
Ø  Anak lelaki akan dihijab nuqsan ( kurang ) sekiranya wujud anak lelaki yang lain.
  
4.0  ISU – ISU  TENTANG PERMASALAHAN HIJAB
Orang yang Dihijab dengan Hijab Pengharaman akan Mengurangkan Hak Orang Lain
           Bagi orang yang dihijab dengan hijab pengharaman , mengikut kaedah ini, dia diiktiraf masih lagi wujud. Mereka ini akan menghijab orang lain dengan hijab pengurangan. Misalnya, , sekiranya si mati meninggalkan seorang datuk , seorang ibu, serta dua orang adik – beradik seibu. Maka , adik – beradik seibu tadi akan dihijab oleh datuk. Pada masa yang sama, dua orang adik – beradik seibu ini akan mengurangkan bahagian pusaka ibu dari satu pertiga 1/3 menjadi satu perenam 1/6.
         Demikian pula, sekiranya si mati meninggalkan seorang adik – beradik lelaki seibu sebapa ( akh syaqiq ) , seorang adik – beradik lelaki sebapa ( akh li – ab ) serta seorang ibu. Ibu akan memperolehi satu perenam 1/6 kerana terdapat dua orang adik – beradik , walaupun adik – beradik sebapa telah dihijab oleh adik – beradik seibu sebapa.
Orang yang Dihijab kerana Sesuatu Sifat Tidak Memberi Kesan Kepada Waris Keluarga Lain
Bagi orang yang dihijab dengan sebab sesuatu sifat, misalnya kafir, hamba atau pembunuhan, ia tidak menjejaskan waris lain, dengan itu dia tidak menjadi penghijab kepada waris lain.Hal ini bermakna, kewujudan dan ketiadaannya adalah sama sahaja. Sekiranya, si mati mempunyai seorang anak yang membunuh dan seorang ibu. Maka ibu akan memperolehi satu per tiga 1/3 walaupun anak yang membunuh itu masih ada kerana dia diharamkan mewarisi pusaka.Dengan itu, dia tidak boleh menghijab sesiapa pun.
Menurut Ustaz md. Yazid Ahmad. Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam ( petikan solusi keluaran Jun 2011 ), berkata : “Semua jenis pembunuhan menghalang waris yang membunuh itu daripada mewarisi harta orang yang dibunuhnya. Hal ini merangkumi pembunuhan yang dilakukan secara sengaja dan juga pembunuhan tidak sengaja. Begitu juga jika pembunuhan itu dilakukan dengan hak, contohnya, seorang hakim (bapa) yang menjatuhkan hukuman bunuh ke atas anaknya yang telah disabitkan bersalah kerana membunuh, tidak boleh mewarisi harta anak yang dijatuhkan hukuman bunuh itu.
            Selain itu, pembunuhan yang dilakukan dengan pilihan atau terpaksa, orang yang tidak berakal atau belum baligh dan orang  yang menyebabkan kematian seseorang biarpun dia bermaksud untuk mendidik, juga menjadi penghalang kepada pewarisan.Ini kerana mazhab syafi’i berpegang kepada keumunan hadith rasulullah s.a.w yang bermaksud “orang yang membunuh tidak akan mewarisi sedikit pun harta orang yang dibunuhnya.”(riwayat ibn majah)
            Walaupun demikian, orang yang dibunuh itu boleh mewarisi pusaka pembunuhnya. Sebagai contoh, seorang anak mencederakan bapanya sehingga menyebabkan kematian. Sebelum bapa itu mati, anak yang melakukan perbuatan tersebut ditakdirkan mati terlebih dahulu. Maka dengan itu, bapanya boleh mewarisi harta anak yang melakukan perbuatan mencederakannya sehingga menyebabkan kematian kerana tiada sebarang halangan yang menghalang si bapa daripada menerima pusaka anaknya.”
                                              












4.0              PENUTUP
Islam ialah agama yang mengajarkan tentang keadilan dan kasih sayang serta menyeru manusia ke arah kebaikan. Dalam pelbagai lapangan, ajaran Islam sentiasa relevan dengan keadaan semasa serta mengikut peredaran zaman. Islam telah meletakkan Al – Quran dan Hadith sebagai ilmu tertinggi dan menjadi panduan manusia seluruhnya dalam soal – soal kehidupan manusia. Misalnya, dalam persoalan pembahagian harta pusaka menurut kaca mata Islam yang berlandaskan ketetapan syara’ telah menggariskan peraturan untuk dipatuhi semata – mata menjaga kemaslahatan umatnya.
            Ilmu pusaka adalah ilmu yang membincangkan mengenai persoalan pengurusan harta pusaka mengikut sistem Islam. Hijab adalah salah satu ilmu yang terkandung di dalam pembahagian pusaka, dimana , menurut syara’ hijab ialah menghalang orang yang layak menerima pusaka daripada menerima pusaka semua sekali atau sebahagiannya. Dalam pembahagian hijab, terdapat dua jenis hijab iaitu hijab kerana sesuatu sifat dan hijab kerana seseorang individu. Terdapat golongan yang dimasukkan di dalam hijab kerana sesuatu sifat , terdiri daripada perhambaan, kufur dan membunuh.Dikenali sebagai mahrum. Mereka akan terhalang sama sekali daripada menerima pusaka. Sementara, hijab disebabkan seseorang individu pula ialah menghalang daripada menerima pusaka sama ada semua atau sebahagian daripada harta pusaka kerana wujudnya waris yang lebih dekat dengan si mati.Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu hijab pengharaman dan hijab pengurangan.
            Hijab pengharaman bermaksud menghalang seseorang daripada menerima pusaka sama sekali kerana terdapat waris yang lebih layak. Golongan yang yang akan dihijab dengan hijab pengharaman ialah datuk, nenek serta nenek – nenek yang jauh sebelah bapa. Manakala, hijab pengurangan ialah menghalang seseorang daripada sebahagian hak pusakanya, diamana jumlah bahagiannya akan dikurangkan kerana wujud seseorang yang memang berhak menerima pusaka juga dikalangan waris. Justeru, dengan kita memahami kaedah hijab ini akan mengetahui kedudukan sebenar hak pewarisan harta pusaka di samping megetahui keadilan Islam dalam soal yang berkaitan dengan persoalan pewarisan harta pusaka. Disini menunjukkan Islam sangat menitikberatkan persoalan keadilan demi menjaga hak – hak pewaris yang benar – benar layak menerimanya tanpa menzalimi sesiapa pun.Maka hubungan kasih syang dan silaturrahim dapat dikekalkan serta dieratkan, manakala sikap persengketaan dan permusuhan dapat dielakkan .
5.0              BIBLIOGRAFI
Al – Quran Al- Karim                               
Dr. Mustofa Al – Khin et. Al. 2009. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Kuala Lumpur : Pustaka Salam
            Sdn. Bhd.
Ustaz Mohd Yazid Ahmad .2011. “ Pembunuh Tidak Dapat Pusaka”. Solusi , Keluaran Jun :
            Hlm 32.

No comments:

Post a Comment